10 May 2013

Pupuk rasa cinta al-Quran, seni khat






Nilai, 23 Mac 2013- Lawatan ilmiah ke Yayasan Restu, Selangor  berjaya memupuk rasa cinta dan cakna al-Quran kepada  20 pelajar tahun 3 yang terdiri dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).
Objektif utama lawatan adalah untuk menerapkan kesedaran kepada pelajar tentang peri pentingnya al-Quran dan keindahan gaya penulisan khat.

Yayasan Restu mempamerkan pelbagai peringkat penghasilan al-Quran dan cara mengukir zukhruf didalam al-Quran dari seluruh negara.  Al-Quran dari pelbagai negara turut dipamerkan selain dari bahan-bahan utama penghasilannya seperti sutera dan emas.  Peringkat penjagaan dan penulisan al-Quran bermula dari tulisan tangan amat menarik minat pelajar untuk mendalami dengan lebih terperinci.


Replika rumah Rasulullah SAW juga menjadi tumpuan utama pelajar.  Sedikit sebanyak pelajar dapat menghayati cara hidup Rasulullsh SAW melalui struktur binaan rumah baginda yang sangat sederhana.  Peralatan dan bahan-bahan masakan yang digunakan di rumah baginda juga berjaya menarik kesedaran pelajar tentang hidup sederhana dan amalan yang diamalkan oleh baginda.

Replika gua yang dibina seakan-akan gua Hira’ banyak mencuri tumpuan pelajar untuk memasuki gua tersebut.  Penulisan al-Quran awal di atas kulit-kulit binatang  menarik perhatian pelajar untuk lebih mengetahuinya.  Pembuatan zukhruf yang diperbuat daripada emas juga membuatkan pelajar semakin ingin mendalami ilmu tersebut.
Pelbagai jenis tulisan khat juga dipamerkan seperti khat nasakh, khat raq’ah, khat suluth, khat murobba’, khat dewani jali, dan khat farisi.  Bengkel penulisan khat selama hampir dua jam berjaya mencungkil bakat pelajar menghasilkan pelbagai tulisan khat.

Pelajar turut diajar langkah untuk menghasilkan seni penulisan khat yang cantik disamping pelajar menghayati hasil-hasil tulisan khat yang dipamerkan di galeri Yayasan Restu tersebut.

Menurut salah seorang peserta program, Syazwani      Mat Salleh dari FPQS, beliau berasa teruja dapat mengikuti program ilmiah ini.
“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Yayasan Restu.  Sebelum ini saya hanya mendengar pengalaman dari rakan-rakan yang pernah melawat ke sana.  Ternyata Yayasan Restu merupakan satu tempat yang tepat untuk dilawati oleh semua pencinta seni khat dan kaligrafi”, ujarnya.

“ Saya rasa amat bertuah dapat menghadiri kelas pembelajaran seni khat di sana walaupun dalam masa yang singkat.  Saya dapat mempelajari dan mengenalpasti jenis-jenis khat yang diajar oleh guru khat  di sana”, kata Nazierah Mat Roman yang juga merupakan ahli Persatuan Khat di USIM.

Menurut penganjur program, Faezah Binti Saman, 22, beliau berpuas hati dengan sambutan pelajar yang memberangsangkan  terhadap keunikan seni khat.
“Saya rasa berpuas hati dengan kejayaan program ini sesuai dengan matlamat kita yang memfokuskan kepada pembelajaran seni khat dan al-Quran.  Secara keseluruhannya, program ini banyak membantu pelajar menguasai seni khat dan mengetahui lebih mendalam tentang sejarah serta perkembangan al-Quran”, jelasnya.

No comments:

Post a Comment