10 May 2013

Rokok elektronik lebih berbahaya dari rokok biasa?





Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata,  penjualan bahan dan produk e-rokok adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikotin untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali, katanya.

Rokok elektronik ataupun e-rokok adalah satu percubaan untuk menghasilkan sejenis rokok yang kononnya mampu mengurangkan kadar penagihan rokok sedia ada. 
Tembakau adalah faktor utama masalah berkaitan jantung dan seumpamanya. Biarpun risiko penggunaan tembakau ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok masih tidak begitu berkesan.
E-rokok dikatakan selamat digunakan sebagaimana ianya tidak mempunyai kandungan tembakau.  Walaupun rasanyanya agak sama seperti merokok rokok asli, ianya tidak mengeluarkan sebarang asap, karbon monoksida, dan sudah tentu tidak menghasilkan abu.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 4,400 kanak-kanak menjadi perokok tegar apabila menginjak dewasa.  Sehubungan itu, pelbagai kaedah dicipta termasuklah rokok elektronik ini.
Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada kepada pelbagai jenis penyakit kronik.
E-rokok sebenarnya menggunakan sejenis cecair dan seterusnya menghasilkan wap air.  Tetapi tahukah anda cecair nikotin juga terkandung didalam e-rokok.  Kandungan nikotin akan meningkatkan  ketagihan untuk merokok.  Ia menunjukkan bahawa e-rokok yang dikatakan selamat itu juga mampu merosakkan paru-paru sebagaimana rokok biasa.  Nikotin juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormon adrenalin serta melambatkan sistem saraf.
Nikotin boleh memberi tindakbalas terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan yang disokong oleh pelbagai faktor lain.Satu kajian saintifik mendapati rokok-e mengandungi karsinogen dan bahan-bahan kimia bertoksik seperti diethylene glycol.
Rokok elektronik mempunyai bateri, atomizer, dan katrij nikotin.    Proses penghasilan wap pada rokok digital kelihatan sama dengan asap rokok biasa.  Ia tidak mengandungi karbon monoksida dan tidak berbau.  E-rokok juga dilengkapi LED yang berwarna oren jika dinyalakan oleh microprocessor, yang kelihatan seperti rokok yang terbakar ketika dihisap.

China sebagai penemu awal rokok elektronik ini pada tahun 2003 juga melarang penggunaan rokok ini kerana dipercayai menjejaskan kesihatan.  Ia juga didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah sehingga mewujudkan peningkatan mendadak dalam rintangan udara paru-paru.
Alat elektronik ini diimport dari China dan dikatakan tidak menjalani sebarang pemeriksaan keselamatan sebelum dijual kepada orang ramai.
Di sebalik kecanggihan penciptaan rokok moden ini, ia juga dikatakan lebih berbahaya daripada rokok biasa jika dikaji kepada bahan-bahannya.
Rokok versi digital ini walaubagaimanapun semakin mendapat sambutan sebagaimana ianya dijual secara berleluasa di negara ini.  Rakyat seharusnya sedar akan bahayanya penggunaan rokok sama ada rokok biasa atau rokok elektronik.  Jadi, kita tidak seharusnya mudah percaya dengan sesuatu yang belum pasti selamat untuk digunakan.

No comments:

Post a Comment