Nilai, 23 Mac 2013- Lawatan ilmiah ke
Yayasan Restu, Selangor berjaya memupuk
rasa cinta dan cakna al-Quran kepada 20
pelajar tahun 3 yang terdiri dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) dan
Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).
Objektif utama lawatan adalah untuk
menerapkan kesedaran kepada pelajar tentang peri pentingnya al-Quran dan keindahan
gaya penulisan khat.
Yayasan Restu mempamerkan pelbagai peringkat
penghasilan al-Quran dan cara mengukir zukhruf didalam al-Quran dari seluruh
negara. Al-Quran dari pelbagai negara
turut dipamerkan selain dari bahan-bahan utama penghasilannya seperti sutera
dan emas. Peringkat penjagaan dan
penulisan al-Quran bermula dari tulisan tangan amat menarik minat pelajar untuk
mendalami dengan lebih terperinci.
Replika rumah Rasulullah SAW juga menjadi
tumpuan utama pelajar. Sedikit sebanyak
pelajar dapat menghayati cara hidup Rasulullsh SAW melalui struktur binaan
rumah baginda yang sangat sederhana.
Peralatan dan bahan-bahan masakan yang digunakan di rumah baginda juga
berjaya menarik kesedaran pelajar tentang hidup sederhana dan amalan yang
diamalkan oleh baginda.
Replika gua yang dibina seakan-akan gua
Hira’ banyak mencuri tumpuan pelajar untuk memasuki gua tersebut. Penulisan al-Quran awal di atas kulit-kulit
binatang menarik perhatian pelajar untuk
lebih mengetahuinya. Pembuatan zukhruf
yang diperbuat daripada emas juga membuatkan pelajar semakin ingin mendalami
ilmu tersebut.
Pelbagai jenis tulisan khat juga dipamerkan
seperti khat nasakh, khat raq’ah, khat suluth, khat murobba’, khat dewani jali,
dan khat farisi. Bengkel penulisan khat
selama hampir dua jam berjaya mencungkil bakat pelajar menghasilkan pelbagai
tulisan khat.
Pelajar turut diajar langkah untuk menghasilkan
seni penulisan khat yang cantik disamping pelajar menghayati hasil-hasil
tulisan khat yang dipamerkan di galeri Yayasan Restu tersebut.
Menurut salah seorang peserta program,
Syazwani Mat Salleh dari FPQS, beliau
berasa teruja dapat mengikuti program ilmiah ini.
“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan
kaki ke Yayasan Restu. Sebelum ini saya
hanya mendengar pengalaman dari rakan-rakan yang pernah melawat ke sana. Ternyata Yayasan Restu merupakan satu tempat
yang tepat untuk dilawati oleh semua pencinta seni khat dan kaligrafi”,
ujarnya.
“ Saya rasa amat bertuah dapat menghadiri
kelas pembelajaran seni khat di sana walaupun dalam masa yang singkat. Saya dapat mempelajari dan mengenalpasti
jenis-jenis khat yang diajar oleh guru khat
di sana”, kata Nazierah Mat Roman yang juga merupakan ahli Persatuan
Khat di USIM.
Menurut penganjur program, Faezah Binti
Saman, 22, beliau berpuas hati dengan sambutan pelajar yang
memberangsangkan terhadap keunikan seni
khat.
“Saya rasa berpuas hati dengan kejayaan
program ini sesuai dengan matlamat kita yang memfokuskan kepada pembelajaran
seni khat dan al-Quran. Secara
keseluruhannya, program ini banyak membantu pelajar menguasai seni khat dan
mengetahui lebih mendalam tentang sejarah serta perkembangan al-Quran”,
jelasnya.
No comments:
Post a Comment