Berdasarkan statistik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala
Lumpur, sejumlah 1,915 kes ragut dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mac
tahun 2009 berbanding jumlah 1,058 kes
sepanjang tempoh yang sama tahun 2008. Kejadian
ragut dan rompak pada golongan wanita khususnya bukan lagi satu fenomena yang
baru. Jenayah ragut berlaku pada bila-bila masa dan masyarakat
kita seolah-olah memandang enteng masalah ini kerana sudah “terbiasa”
mendengarnya di dada-dada akhbar dan berita.
Sudah kalis benarkah jiwa kita
apabila saban tahun kita mendengar tentang kes-kes ragut yang menyebabkan
kematian banyak nyawa? Jenayah dan kes ragut di Malaysia
terutamanya di ibu Negara dan bandar-bandar besar semakin membimbangkan. Secara
keseluruhannya jenayah ragut di sekitar ibu kota dilihat semakin kritikal dan
perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Kita pernah mendengar kes ibu sedang sarat mengandung, terbunuh
semasa kes ragut, ada yang cedera parah ketika melawan peragut, guru tadika
maut ditikam peragut di atas jejantas dan bermacam-macam lagi.
Sebelum ini, kita digemparkan dengan kejadian di mana peragut
bertindak meragut seorang wanita yang sedang sarat hamil hamil, akibatnya
wanita itu terjatuh dari motosikalnya dan akhirnya maut di tempat kejadian.
Yang pastinya peragut tidak pernah mengenal mangsanya dan tidak akan mengenal belas
kasihan.
Kita
seharusnya memandang serius masalah ini serta mengambil langkah yang lebih
waspada dan berhati hati dalam setiap langkah perjalanan kita. Golongan wanita disarankan supaya mengambil
beberapa langkah keselamatan untuk menjauhkan diri dari menjadi sasaran peragut
atau perompak sama ada pejalan kaki atau pemandu. Bagaimana jenayah
ragut boleh berlaku?
Peragut sememangnya lebih gemar
mengambil peluang dan kesempatan
terhadap seseorang yang dilihat tidak melawan secara agresif seperti kaum
wanita. Wanita seringkali dianggap sebagai golongan yang lemah dan mudah
dikasari serta jarang sekali untuk bertindak balas. Selalunya mereka hanya mampu menjerit untuk meminta pertolongan
daripada orang ramai jika ditimpa musibah.
Orang awam terutamanya kaum hawa dilihat mudah menjadi mangsa ragut
berikutan sikap mereka yang gemar memberi peluang kepada si peragut.
Tidak
dapat dinafikan lagi peningkatan kes ragut ini juga dipercayai disebabkan oleh sikap
peragut yang ingin memperoleh wang
dengan cepat dan mudah tanpa memikirkan tentang keselamatan orang lain.
Wanita yang memakai barang-barang kemas yang sangat
ketara dan mendedahkannya untuk tontonan orang ramai sememangnya boleh menarik
perhatian peragut. Wanita juga gemar
membawa beg tangan dengan cara memudahkan peragut meragut iaitu dengan
menyandang di bahu sahaja dan berjalan tidak berlawanan arus lalulintas.
Di manakah peragut selalunya bertindak? Peragut
sering bertindak di jalan atau di lorong yang gelap dan sunyi. Bagi mengelakkan diri daripada menjadi daya tarikan dan mangsa ragut, sebolehnya elakkan
diri dari berjalan kaki atau menunggang motosikal seorang diri di kawasan yang
sunyi dan terlindung dari pandangan orang lain terutamanya pada waktu malam. Kawasan yang jauh dari pandangan umum sukar
untuk mendapat bantuan apabila memerlukannya. Ini akan memudahkan peragut mencari mangsa untuk melakukan aktiviti mereka
tanpa dilihat atau diketahui orang lain.
Lazimnya peragut menggunakan kenderaan seperti motosikal
atau kereta untuk melakukan kegiatan mereka.
Peragut biasanya melakukannya secara berteman dan kadangkala mempunyai
senjata tajam bersama mereka. Semasa
anda memandu, jangan menghentikan kenderaan anda jika ada sesiapa sahaja yang
menyuruh anda berbuat demikian tidak kira sama ada seseorang yang memberitahu
anda bahawa tayar kenderaan anda pancit, anda terlanggar sesuatu, atau apa-apa sahaja. Teruskan memandu sehingga anda sampai di
kawasan yang lebih selamat untuk berhenti dan memeriksa kenderaan anda.
Jika anda terpaksa berjalan kaki
pada waktu malam tanpa ditemani sesiapa, seeloknya ikutlah arah laluan jalan
bertentangan supaya anda dapat melihat kenderaan yang berada di hadapan dan
boleh bertindak awal jika merasakan ada sesuatu yang mencurigakan di hadapan
anda. Peragut biasanya akan meragut
sesiapa sahaja yang berjalan searus dengan lalulintas tidak kira sama ada
mangsa itu adalah wanita mengandung atau orang tua.
Kaum wanita juga digalakkan untuk
memakai pakaian yang longgar dan sesuai agar mudah untuk bertindak jika menjadi
mangsa ragut atau sesuatu yang tidak diingini. Pilih pakaian yang selesa dan
memudahkan untuk bergerak pantas jika mempunyai sesuatu urusan di luar rumah.
Sekiranya membonceng motosikal,
elakkan dari menggalas beg tangan anda di sebelah bahu sahaja. Sebaik-baiknya
letakkan beg tersebut di tengah-tengah antara anda dan penunggang dan lindunginya
dengan tangan anda. Menggalas beg tangan
di bahu akan menjadikan anda “sasaran utama” peragut.
Kita
sememangnya sudah terbiasa untuk memegang telefon dan mengetip pesanan ringkas
sambil berjalan. Tanpa kita sedari,
perbuatan sebegini akan mengundang padah.
Ia adalah seperti magnet yang akan menarik perhatian peragut untuk
menyelesaikan misinya. Kita seharusnya
berjaga-jaga setiap masa dan mengetahui
di mana kedudukan telefon anda, bukannya sentiasa mengetip telefon anda.
Apabila
anda terpaksa melalui jalan gelap untuk ke tempat letak kereta, jangan malu
untuk meminta bantuan atau minta ditemani rakan anda. Jika anda sememangnya bekerja pada waktu
malam (nightshift), berbincang dengan rakan lelaki untuk menemani anda ke
tempat letak kereta adalah salah satu jalan terbaik untuk mengelakkan diri
menjadi mangsa ragut.
Apabila
berjalan bersama rakan-rakan pada waktu
malam, sentiasalah berjaga-jaga. Suara
wanita yang rancak bercakap mungkin akan mengundang sesuatu yang tidak diingini. Jadi, wanita seeloknya tidak bercakap-cakap
(girlie talks) dengan berlebihan apabila anda berada di kawasan yang tidak
begitu selamat untuk berbuat demikian.
Disamping
itu, apabila anda berada di tempat duduk penumpang sebelah kiri kereta,
pastikan beg anda diletakkan di kawasan yang selamat. Seelok-eloknya letaklah barang anda di
kawasan antara kedua-dua belah kaki anda atau di tempat antara pemandu. Pastikan cermin dan pintu kereta sentiasa
dikunci.
Jangan
tinggalkan barang-barang berharga anda
di dalam kereta. Meskipun laptop menyakitkan bahu anda, teruskan menggalas dan
bawa bersama anda. Barang-barang
bernilai tinggi seperti laptop, beg tangan dan telefon pintar yang ditinggalkan di dalam kereta akan
membuatkan peragut menyasarkan kereta anda dan sudah tentu anda juga menjadi
mangsanya.
Tarikan
melalui cara pemakaian juga perlu diambil kira.
Selalunya, semakin “menarik” seseorang wanita itu berpakaian, semakin
kuat juga tarikan si peragut untuk menjadikan anda sebagai sasaran dan
mangsanya.
Bagus
jika anda sentiasa membawa penyembur lada di dalam tas tangan anda. Jika anda mempunyai sesuatu urusan di luar
rumah, pastikan alat-alat kecil keselamatan sentiasa ada di dalam beg atau
kocek pakaian anda seperti pen dan gunting.
Alat-alat ringkas ini akan memberi faedah kepada anda terutamanya pada
waktu yang memerlukan.
Sentiasalah
membawa wang secara minima, selindung wang daripada pandangan umum supaya tidak
menarik perhatian penjenayah, serta
sentiasa membimbit atau mengepit beg tangan dan tidak disangkut atau disandang
pada bahu supaya ia lebih sukar diragut dan jika diragut boleh mengelak dari
berlaku kecederaan kerana diseret.
Elakkan dari berjalan
seorang diri di tempat-tempat sunyi atau semasa menaiki lif, dan jangan
mendedahkan barang-barang kemas yang dipakai.
Ketika berjalan di atas jalanraya, sentiasa berjalan secara bertentangan
dengan arus lalulintas supaya dapat melihat apa jua kenderaan yang datang dari
arah hadapan. Beg tangan pula dikepit atau dibimbit dengan tangan kanan.
Elakkan dari memakai barang-barang kemas secara berlebihan yang boleh menarik
perhatian penjenayah.
Disamping
itu, elakkan dari meletak beg tangan yang mudah dicapai oleh orang lain
umpamanya di atas kaunter, di dalam bakul pasar dan sebagainya. Seboleh-bolehnya bawalah payung untuk melindungi diri bila berdepan penjenayah. Berhati-hati setiap masa dan tunjukkan
kelakuan seolah-olah sangat cermat dan sentiasa berwaspada apabila mengeluarkan
duit daripada mesin ATM atau ketika keluar masuk bank. Ketika berjalan, rapatkan beg tangan ke badan
dan pegang erat dengan kedua-dua tangan.
Ini dapat memberi isyarat kepada peragut bahawa anda adalah seorang yang
cermat melindungi hak kepunyaan anda dan sentiasa berjaga-jaga.
Ini pula
cadangan sebelum ini dari bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagi menangani
kes ragut iaitu dengan mencadangkan kepada kerajaan supaya motosikal tidak
dibenarkan memasuki kawasan bandar-bandar besar di seluruh negara sebagai
langkah mengurangkan kes ragut di negara ini.
Beliau menegaskan, ini adalah
disebabkan banyak kes ragut dilakukan
oleh penunggang motosikal atau pemboncengnya yang sentiasa berlegar-legar
mencari mangsa di kawasan bandar-bandar besar.
Kes-kes jenayah seperti kes ragut adalah
dikatakan disebabkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang itu sendiri
juga. Sejauh mana peragut takut dengan hukuman yang akan dijatuhkan kepada
meraka. Penjara? Itu hanya hukuman ringan dan bersifat sementara sahaja. Apabila keluar dari penjara, kemungkinan dan peratusan untuk
mereka mengulangi perbuatan sama mereka sangat-sangat tinggi. Mereka mungkin lebih berani untuk melakukan
jenayah lain berikutan ringannya hukuman yang dikenakan.
Undang-undang bagi pencegahan kes ragut di
Malaysia sangat penting untuk diperketatkan
dan dikuatkuasakan supaya pelaku jenayah
berfikir banyak kali untuk melakukan jenayah. Tindakan undang-undang yang lebih berat perlu
diambil bagi membendung fenomena ini.
Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang boleh dicapai jika gejala rosak masyarakat seperti ragut
dapat diatasi.
Kepada
golongan wanita di luar sana, sentiasalah berwaspada dalam setiap langkah anda
kerana setiap kelakuan kita adakalanya diperhatikan dari jauh. Elakkan menjadikan diri anda sebagai daya
tarikan peragut kerana nyawa kita adalah lebih bernilai dari segala-galanya.
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, marilah
kita bersama-sama kerajaan berganding bahu membendung masalah ini untuk
kemaslahatan bersama. Sebuah negara yang
aman membangun dan berdaulat tinggi dapat dinikmati sepenuhnya jika dapat
menghayati tata kesopanan dan kesusilaan sesama kita.
Nasihat ayahanda anakanda fikirkan,
Keliru syaitan anakanda jagakan,
Orang berakal anakanda hampirkan,
Orang jahat anakanda jauhkan.
Keliru syaitan anakanda jagakan,
Orang berakal anakanda hampirkan,
Orang jahat anakanda jauhkan.
Terima kasih banyak-banyak!
ReplyDelete